Archive for the ‘ Ibadah ’ Category

jama’, qashar dan qunut subuh..

sejak beberapa minggu kebelakangan, saya telah ditanya oleh beberapa pihak tentang tiga persoalan ini; jama’, qashar, qunut Subuh.. namun begitu, saya tidak berniat untuk menjawab ketiga-tiga secara detail, sekadar memberikan jawapan ringkas beserta dalilnya..


JAMA’


jama’ bererti menggabungkan dua solat, yakni Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya’, sama ada dalam waktu pertama (waktu Zuhur atau Maghrib) mahu pun waktu kedua (waktu Asar atau Isya’)..

dari Ibnu ‘Abbas R.A, katanya: “Rasulullah S.A.W pernah mengerjakan solat Zuhur dan Asar di Madinah, bukan kerana ketakutan atau kerana hujan.” Perawi berkata: Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Mengapa baginda melakukan hal tersebut?” Jawabnya: “Agar tidak memberatkan umat baginda.” – [HR Muslim].

syarat-syarat dibolehkan menjama’kan solat:

PERTAMA, dibolehkan untuk menjama’kan solat dalam keadaan bermukim (yakni bukan dalam keadaan musafir).. telah jelas dalam hadits di atas bahawa Rasulullah pernah menjama’kan solat sewaktu di Madinah.. namun harus kita ingat, jama’ saat bermukim tidak boleh dilakukan bersamaan dengan qashar, kerana syarat untuk mengqasharkan solat adalah musafir.. dengan kata lain, barang siapa yang ingin menjama’kan Zuhur dan Asar sedangkan dia bermukim, hendaklah dia melakukan solat 4 rakaat – 4 rakaat..

KEDUA, dibolehkan untuk menjama’kan solat kerana ketakutan..

KETIGA, dibolehkan untuk menjama’kan solat kerana hujan.. namun, para ulama’ menetapkan bahawa solat jama’ kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jama’ah yang solat di masjid sahaja..

KEEMPAT, dibolehkan untuk menjama’kan solat sekiranya ada keperluan..


Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, ketika ditanya tentang hukum menjama’kan solat bagi seorang doktor yang sangat sibuk, menjawab: boleh menjama’kan solat Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya’, baik dengan jama’ taqdim mahu pun jama’ ta’khir, mana-mana yang dianggap mudah baginya, iaitu jama’ sahaja tanpa diqasharkan. membolehkan jama’ kerana uzur adalah mazhab Imam Ahmad (yakni mazhab Hanbali), berdasarkan hadits Ibnu ‘Abbas dalam kitab shahih (yakni kitab Shahih Muslim). – [Fatwa Mu’assarah].

Syaiku Al-Islam Ibnu Taimiyyah juga pernah menyebut, “para buruh dan petani, jika pada waktu tertentu memberatkan mereka, misalnya air jauh dari tempat solat, jika mereka pergi ke sana untuk bersuci, terbengkalailah pekerjaan yang diperlukan, maka mereka boleh mengerjakan solat dalam satu waktu dengan menjama’ antara dua solat.” – [Majmu’ Al-Fatawa].

malah, sekiranya kita melihat perkara ini dengan lebih luas, dapat kita simpulkan, sekiranya ada apa-apa sahaja hajat yang bersifat mendesak, kita dibolehkan untuk menjama’kan solat.. misalnya, pelajar yang menduduki peperiksaan sedangkan waktu solat agak pendek (di negara yang mengalami 4 musim), pengawal keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkannya untuk meninggalkan kawasan tersebut kerana kritikalnya suasana tersebut, maka dibolehkan bagi mereka untuk menjama’kan solat mereka. – [http://fiqh-sunnah.blogspot.com].

begitu juga dengan pesakit yang sulit untuk bergerak, dibolehkan baginya untuk solat. demikian juga bagi wanita yang bermusafir dengan bas awam yang menyusahkannya untuk solat di tengah perjalanannya, dia dibolehkan untuk menjama’kan solat sebelum bertolak (jama’ tanpa qashar, kerana dia belum memasuki batas musafir). – [fiqhmedic.wordpress.com].

diriwayatkan juga dalam kitab Shahih Muslim, bahawa Ibnu ‘Abbas pernah berkhutbah di Bashrah selepas Asar sehingga matahari terbenam dan terbit bintang-bintang.. ini menyebabkan orang ramai berkata: Solat! Solat! lalu datang seorang lelaki dan memperingatkan: solat! solat! lalu Ibnu ‘Abbas berkata: “Adakah engkau mengajar aku sunnah? sungguh tidak berguna kamu.” kemudian dia berkata lagi: “Aku melihat Rasulullah S.A.W menjama’kan solat antara Zuhur dengan Asar, dan Maghrib dengan Isya’. berkata ‘Abdullah bin Syaqiq (perawi): penjelasan Ibnu ‘Abbas itu tidak memuaskan hatiku. kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah dan bertanya tentang perkara tersebut, dan Abu Hurairah membenarkan kata-kata Ibnu ‘Abbas.

daripada riwayat ini, dapat kita simpulkan bahawa Ibnu ‘Abbas telah menjama’kan Maghrib dan Isya’ kerana suatu hajat, iaitu khutbahnya, dan perkara ini dipersetujui oleh Abu Hurairah.. namun harus kita ingat satu perkara, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi: “Segolongan ulama’ besar membenarkan jama’ dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat yang tetap.” – [Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab]. dengan kata lain, berdasarkan kata-kata Imam An-Nawawi ini, kita dibolehkan untuk menjama’kan solat tetapi tidak menjadikan perkara tersebut sebagai satu kebiasaan yang dilakukan setiap hari..


jama’ ta’khir: bolehkan didahulukan Asar (diikuti dengan Zuhur) atau Isya’ (diikuti dengan Maghrib)?

dari Jabir bin ‘Abdullah, katanya: ‘Umar pada hari perang Khandaq setelah matahari terbenam, dia telah mencaci orang-orang kafir Quraisy sambil berkata: “Ya Rasulallah! Aku hampir tidak dapat mengerjakan solat Asar sehingga matahari terbenam.” kemudian Nabi menjawab: “Demi Allah! Aku pun tidak mengerjakannya.” lalu Nabi berwudhu’ dan kami pun berwudhu’, kemudian baginda solat ‘Asar sesudah matahari terbenam, setelah itu, baginda solat Maghrib. – [HR Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim].

kata Imam Asy-Syaukani: hadits ini menjadi dalil untuk menetapkan hukum wajibnya tertib dalam mengerjakan solat-solat qadha’ dan ada’. – [Nailu Al-Authar].

setahu saya, inilah yang dipegang oleh jumhur ulama’ (majoriti ulama’).. ada pun pendapat yang mengatakan dibolehkan untuk didahulukan solat Isya’, kemudian diikuti Mahgrib ketika melakukan jama’, tidak pernah saya tahu apakah dalil yang digunakan.. wallahu a’lam.. rasanya entry ini sudah cukup panjang.. saya akan menjawab tentang permasalahan qashar dan qunut dalam entry berikutnya..

Advertisements

puasa syawal

dari Abu Ayyub Al-Anshari R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: Barang siapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian dia mengiringinya 6 hari daripada bulan Syawal, maka seperti dia berpuasa sepanjang tahun. – [HR Muslim].


ulama’ berbeza pendapat tentang persoalan bolehkah didahulukan puasa 6 Syawal sebelum melakukan puasa qadha’.. ada yang mengatakan boleh dan ada pula yang mengatakan tidak.. namun, pendapat yang lebih kuat adalah pendapat yang mengatakan tidak boleh didahulukan puasa Syawal sebelum puasa qadha’..


antara hujahnya adalah berdasarkan matan (teks) hadits tersebut, “Barang siapa yang berpuasa Ramadhan…”, seseorang itu tidaklah dikira telah berpuasa Ramadhan sekiranya masih mempunyai “hutang” puasa.. oleh sebab itu, hendaklah dia melunaskan “hutang” tersebut, barulah dia dikira telah “berpuasa Ramadhan”..


bagaimana pula dengan persoalan menggabungkan niat, iaitu niat puasa qadha’ dan puasa 6 Syawal? tidak dibolehkan untuk menggabung niat (yakni tidak akan mendapat ganjaran yang telah Rasulullah S.A.W janjikan) kerana kedua-duanya jenis puasa tersebut harus dilakukan secara berasingan.. hendaklah menyempurnakan puasa Ramadhan terlebih dahulu, diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal.. sekiranya kedua-dua jenis puasa ini dilakukan secara bersamaan pada hari yang sama, syarat “kemudian dia MENGIRINGINYA 6 hari daripada bulan Syawal” itu tidak dipenuhi.. oleh itu, hendaklah kedua-dua puasa ini dilakukan pada hari yang berbeza..


adakah puasa 6 hari ini perlu dilakukan secara berturut-turut? memandangkan hadits yang shahih dari Nabi S.A.W diucapkan secara umum tanpa ada ketentuan hari, maka dibolehkan untuk berpuasa 6 Syawal secara terpisah (tidak perlu berturutan)..


wallahu a’lam..

– mrblinc –

Amalan-Amalan Sunnah Ketika Berpuasa (3)

I'tikaf

Amalan-Amalan Sunnah Ketika Berpuasa (2)

alang-alang dah batal..

saya bawakan satu hadits yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i dalam Al-Kubra, Ibnu Hibban, dan juga Al-Hakim (dan Al-Hakim mengatakan bahawa hadits ini shahih dan pernyataan ini disepakati oleh Adz-Dzahabi), dari Abu Umamah Al-Bahili, bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda:

Ketika aku sedang tidur, datang dua orang lelaki kemudian memegang kedua-dua lenganku, membawaku ke satu gunung yang tidak rata. Kedua-duanya berkata: Naik. Aku berkata: Aku tidak mampu. Kedua-duanya berkata: Kami akan memudahkanmu. Aku pun naik hingga sampai ke puncak gunung, ketika itulah aku mendengar suara yang keras. Aku pun bertanya: Suara apakah itu? Mereka berdua menjawab: Ini adalah teriakan penghuni neraka. Kemudian kedua-duanya membawaku, ketika itu aku melihat kaum yang digantung dengan kaki di atas, mulut mereka robek, darah mengalir dari mulut mereka. Aku bertanya: Siapakah mereka? Mereka berdua menjawab: Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum halal puasa mereka (yakni sebelum tiba waktu berbuka puasa).

hadits di atas memberi satu isyarat kepada kita bahawa tidak boleh bagi kita untuk membuka puasa sebelum waktunya tanpa ada sebarang keudzuran.. kenapa saya membawakan hadits di atas sebagai muqaddimah entry kali ini?? alasannya adalah kerana saya menyedari bahawa ada beberapa perkara yang menjadi pegangan masyarakat kita yang kurang tepat dalam “batalnya puasa seseorang”, sedangkan kita melihat ancaman yang diperlihatkan kepada Nabi S.A.W di atas cukup menakutkan..

cuba anda bayangkan.. seorang lelaki melakukan sesuatu perbuatan, yang menurut syara’ tidak membatalkan puasanya, namun memandangkan masyarakat telah sekian lama menganggap bahawa perkara tersebut membatalkan puasanya, dia lantas bersikap sebagaimana sikap orang yang tidak berpuasa (makan, minum di siang hari).. bermula dengan perbuatan yang tidak membatalkan puasa, akhirnya dia telah berbuka puasa sebelum waktunya..

di bawah saya senaraikan beberapa perbuatan yang menurut syara’ tidak membatalkan puasa.. saya juga akan sertakan link sekiranya anda ingin melihat sendiri hujah-hujah yang dikemukakan untuk menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa..

1. masih dalam keadaan junub ketika masuknya subuh

2. bersiwak atau gosok gigi

3. memasukkan air dalam hidung dan berkumur-kumur (termasuk juga korek hidung atau telinga)

4. bermesra dan mencium isteri tetapi dimakruhkan bagi para pemuda

5. merasa makanan dengan lidah

6. berbekam

7. mandi atau mencurahkan air ke atas kepala

8. memakai contact lens

9. inhaler (bagi pesakit asthma)

10. darah untuk pemeriksaan atau derma darah

11. memakai celak

12. menelan air liur

13. alat-alat diagnostik (perubatan) yang dimasukkan ke dalam tubuh


untuk penjelasan lebih lanjut sila klik link-link di bawah:

* perkara yang disangka membatalkan puasa, namun pada hakikatnya tidaklah begitu

* contact lens membatalkan puasa?

* suntikan di siang hari Ramadhan, pemakaian inhaler dan mengeluarkan darah dari orang yang berpuasa

* panduan ringkas sepanjang bulan Ramadhan

rasanya masih banyak perbuatan yang tidak membatalkan puasa tidak saya cantumkan di sini.. cukuplah entry ini menjadi pembuka minda anda supaya anda sedar bahawa sememangnya wujud beberapa pegangan dalam masyarakat yang tidak benar.. oleh itu, berhati-hatilah dalam urusan “terbatalnya puasa”.. jangan pula hanya disebabkan pegangan yang tidak benar, kita pula mengatakan: “Alang-alang dah batal, lebih baik aku…”


wallahu a’lam..

Amalan-Amalan Sunnah Ketika Berpuasa (1)

Advertisements