jagalah disiplin ini..

Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis tentang perkara ini, namun cuma hari ini saya ada sedikit kelapangan, alhamdulillah.. Perkara yang saya maksudkan adalah berkenaan disiplin kita dalam beragama, terutama ketika kita berbicara tentang hadits-hadits Nabawi..


Saya melihat ramai di kalangan kita yang suka mengemukakan “hadits Nabi S.A.W,” kemudian di belakang “hadits” tersebut ditulis “AL-HADIS”.. Mungkin bagi sesetengah pihak tidak melihat ini sebagai satu kesalahan, tetapi bagi saya, seelok-eloknya perkara sebegini diperbetulkan.. Ini kerana banyak yang didakwa sebagai “AL-HADIS” itu sebenarnya bukanlah hadits Nabi S.A.W..


Telah tsabit satu hadits dari Nabi S.A.W, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab shahihnya, tentang keadaan di akhir zaman, di mana akan ada pendusta (dajjalun kadzdzabun) yang akan membawakan hadits palsu.. Dalam hadits tersebut, Nabi S.A.W memberikan isyarat kepada kita supaya berhati-hati dalam dakwaan sesetengah pihak memalsukan hadits, “La yudhillunakum, wa la yaftinunakum – Jangan biarkan mereka menyesatkan kalian, dan jangan biarkan mereka menimpakan fitnah atas kalian.


Namun sayangnya, tidak ramai antara kita yang sedar tentang perkara ini, dan secara tidak sengaja telah terjerumus ke dalam fitnah tersebut.. Bahkan lebih parah apabila mereka bukan sahaja percaya bahawa “hadits” tersebut adalah hadits, tetapi mereka turut memainkan peranan mereka dalam menyebarkan “hadits” tersebut..


Atas kesedaran saya tentang perkara ini, saya ingin mengajak teman-teman sekalian untuk menjaga beberapa disiplin dalam perkara ini..


Pertama: Apabila anda ingin memetik mana-mana hadits, alangkah baiknya sekiranya anda dapat menyertakan daripada kitab mana hadits tersebut diambil.. Misalnya dengan menulis, “Hadits Riwayat Al-Bukhari”, “Hadits Riwayat Abu Dawud”, dll..


Perkara ini penting dalam memastikan tiadanya sebarang unsur penipuan dalam memetik mana-mana hadits Nabawi.. Anda harus sedar, di sana adanya sekelompok manusia yang berniat buruk terhadap agama ini, lantas mereka mengatakan, “Hadits ini ada dalam kitab itu dan ini,” namun setelah diperiksa kembali, ternyata dakwaan tersebut tidak benar..


Begitu juga ketika sesuatu hadits yang dibacakan itu agak janggal bagi kita.. Sesuatu hadits yang tidak pernah kita dengar, tidak bererti hadits itu tidak wujud atau pun tidak shahih.. Jangan pula atas nama “sikap berhati-hati”, tanpa kita sedari kita telah menolak sebahagian hadits shahih.. Oleh itu, kaedah ini secara tidak langsung akan memudahkan urusan kita dalam mencari hadits tersebut dalam kitab tertentu..


Kedua: Apabila anda memetik mana-mana hadits, alangkah baiknya sekiranya anda boleh membawakan mana-mana pendapat ulama yang muktabar mengenai status hadits tersebut, sama ada shahih, hasan, dha’if, maudhu’, dll.. Ini bagi menghindarkan kita daripada menjadi agen penyebaran hadits palsu dalam masyarakat Islam hari ini..


Al-Imam Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya (iaitu Shahih Ibnu Hibban), telah meletakkan satu pasal yang beliau namakan: “Pasal Menyebut Ketetapan Memasuki Neraka Bagi Sesiapa yang Menyandarkan Sesuatu kepada Al-Musthafa S.A.W, Sedangkan Dia Tidak Mengetahui Tentang Keshahihannya.”


Al-Imam Ibnu Hajar Al-Haitsami ditanya tentang seorang khatib yang menaiki mimbar setiap Jumaat dan meriwayatkan hadits-hadits tanpa diterangkan sumber dan kedudukannya, maka jawab beliau: “Hadits-hadits yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadits, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadits. Ada pun jika dia hanya bergantung kepada kitab atau ucapan yang penulisnya bukan ahli hadits, maka tidak halal (berbuat demikian). Sesiapa yang melakukannya ditakzirkan dengan keras. Inilah kebanyakan khatib. Mereka semata-mata hanya melihat khutbah yang mengandungi hadits-hadits lalu mereka pun  hafal. Mereka berkhutbah menggunakan hadits-hadits tersebut tanpa mengetahui asal usulnya. Maka wajib atas pemerintah di setiap negeri menghalang para khatib daripada berbuat demikian.”


Seorang ulama hadits Syam, Badruddin Al-Hasani telah berkata: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadits kepada Rasulullah S.A.W kecuali apabila dinyatakan keshahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali (huffaz ialah orang yang begitu luas ilmunya tentang hadits dan seni ilmunya, sehingga apa yang diketahuinya mengenai hadits dan kecacatan hadits lebih banyak daripada apa yang tidak diketahuinya). Sesiapa yang berkata: ‘Rasulullah telah bersada…’ sedangkan dia tidak tahu keshahihan hadits tersebut menerusi salah seorang huffaz, dibimbangi dia termasuk dalam hadits ‘Sesiapa yang berdusta atasku apa yang tidak aku ucapkan, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka’.”


* * * * * * * * * *


Mungkin ada yang akan berkata, “Kalau begitu, hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh menyebarkan hadits, sedangkan kami yang tidak mempunyai ilmu tidak dapat berbuat demikian..” Saya katakan, cara yang paling mudah untuk memenuhi kedua-dua syarat di atas adalah dengan memetik hadits-hadits yang tertulis dalam Shahih Al-Bukhari dan juga Shahih Muslim, kerana hadits-hadits yang terkandung dalam kedua-dua kitab tersebut telah disepakati keshahihannya oleh para ulama (walau pun ada beberapa hadits yang telah dipertikaikan, namun majoriti ulama mengatakan semua hadits adalah shahih, wallahu a’lam)..


Ini bukanlah bererti saya menafikan wujudnya hadits-hadits shahih dalam kitab-kitab lain, cuma dalam kitab-kitab lain (seperti Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, dll) didapati terkandung hadits-hadits yang tidak shahih.. Oleh itu, cara yang paling mudah, rujuklah Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim..


* * * * * * * * * *


Mungkin ada juga yang akan berkata, “Kenapa perlu besar-besarkan perkara ini.. Orang nak buat baik, kenapa kita nak menghalang?” Saya katakan, ada satu riwayat dalam Sunan Ad-Darimi, dengan sanad yang shahih, yang menceritakan bagaimana Ibnu Mas’ud R.A melarang sekelompok manusia yang berzikir kepada Allah dalam keadaan yang tidak pernah diajarkan oleh Nabi S.A.W..


Menurut kelompok tersebut, mereka hanya ingin berbuat baik.. Jawab Ibnu Mas’ud kepada mereka: “Wa kam min muridillilkhair lan yushibahu – Dan betapa ramai yang bertujuan baik tetapi tidak menepatinya.”


Selain itu, sekiranya anda membaca Shahih Al-Bukhari mahu pun Shahih Muslim, ada satu riwayat yang menceritakan bahawa ada sahabat Nabi S.A.W yang ingin berpuasa sepanjang tahun, ada pula yang ingin solat malam tanpa tidur, dan ada juga yang ingin menjauhi wanita untuk menumpukan ibadah kepada Allah.. Ketiga-tiga amalan tersebut tidaklah dilakukan oleh mana-mana manusia, melainkan  sudah pasti niat mereka ingin mendekatkan kepada Allah semata-mata.. Namun, Rasulullah S.A.W melarang ketiga-tiga sahabat tersebut daripada melakukan amalan-amalan tersebut.. Ternyata, niat yang baik, sekiranya tidak bertepatan dengan sunnah Nabi S.A.W, tidak akan diterima oleh Allah..


* * * * * * * * * *


Mungkin ada pula yang akan berkata, “Bagaimana pula sekiranya kita memberikan ceramah kepada masyarakat umum, misalnya kepada orang-orang kampung, yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut, perlukah kita menyebutkan ‘hadits ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari’ dan sebagainya? Mungkin mereka akan lebih pening sekiranya perkara ini disebutkan..”


Sekiranya itu adalah situasinya, maka menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan bahawa hadits tersebut memenuhi kedua-dua syarat di atas, kemudian katakanlah, “Nabi pernah bersabda…”


Ingatlah kata-kata Ibnu Hajar Al-Haitsami di atas: “Hadits-hadits yang dia sebut tanpa menerangkan perawi dan siapa yang menyebutnya, harus dengan syarat dia seorang yang mempunyai ilmu dalam hadits, atau dia memetik daripada kitab yang penulisnya ahli hadits.”


Begitu juga dengan kata-kata Badruddin Al-Hasani: “Tidak harus menyandarkan sesebuah hadits kepada Rasulullah S.A.W kecuali apabila dinyatakan keshahihannya oleh salah seorang huffaz yang dikenali.”


* * * * * * * * * *


Wallahu a’lam..


-mrblinc-

jakarta barat

    • entadat
    • May 11th, 2009

    masukkan yg sgt baik. kini cara meyampaikan hadis dengan disiplin ahlul sunnah telah lebih jelas. terima kasih.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: