Archive for December, 2008

Apa teras kita?

Nabi Kita Muhammad S.A.W, seorang yang mulia dan manusia paling sempurna di muka bumi Allah.


Beliau menda’wahkan aqidah selama lebih kurang 13 tahun. Menghantar utusan ke sana sini atas tujuan pemurnian aqidah. Menyembah Tuhan yang satu dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan.

Nabi Nuh A.S juga menda’wahkan aqidah, menyeru kepada Tuhan yang satu. Mengajak manusia meninggalkan segala bentuk kesyirikan. Da’wahnya ditolak oleh majoriti manusia, namun tetap teguh walaupun sehingga 950 tahun lamanya berusaha keras.

Berbeza dengan kebanyakan para pengaku da’i zaman sekarang. Kalau boleh semuanya mahu segera. Semuanya mahu ekspress.

Continue reading

Advertisements

adakah anda sudah membaca doa akhir tahun?

saya ada terbaca di salah satu blog mengenai doa akhir tahun dan doa awal tahun.. isi kandungan blog tersebut adalah sebagaimana berikut..

DOA AKHIR TAHUN

Doa ini dibaca 3 kali pada waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir  bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

DOA AWAL TAHUN

Doa ini dibaca 3 kali selepas Maghrib pada malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.
mungkin sesetengah orang akan bertanya: mengapa saya menulis tentang perkara ini? jawapannya cukup mudah: “Kerana kalimah-kalimah di atas mengandungi kebatilan yang cukup besar.”

saya rasa sesiapa sahaja yang mengkaji sejarah pasti mengetahui bahawa PENENTUAN AWAL TAHUN ISLAM hanya terjadi di zaman pemerintahan saidina ‘Umar Al-Khaththab R.A.. Rasulullah S.A.W tidak pernah menyambut perkara ini, malah mereka yang hanya sempat hidup di zaman khalifah Islam yang pertama (yakni saidina Abu Bakar R.A) pun tidak sempat mengenal apakah itu Awal Muharram..

sekiranya begitu, bagaimana pula boleh muncul suatu doa yang disebarkan kepada masyarakat umum, dan DISERTAKAN KESESALAN SYAITAN apabila dia mendengar umat Islam membaca doa tersebut? pertanyaan saya, “Siapakah yang pernah mendengar keluhan syaitan tersebut, sekiranya ia bukan berasal dari Rasul S.A.W?”
“keluhan syaitan” sebenarnya termasuk benda ghaib, yang tidak mungkin kita akan mengetahuinya melainkan melalui dua kemungkinan.. kemungkinan pertama, kita mendengarnya dari Nabi S.A.W, atau pun kemungkinan kedua, syaitan itu sendiri yang memunculkan diri (sebagaimana yang berlaku kepada Abu Hurairah, di mana syaitan yang mengajarkan beliau untuk membaca ayat Kursi)..
memandangkan kemungkinan kedua sangat jarang berlaku, maka kita akan lebih sentiasa terbayangkan kalimah seperti ini adalah sebahagian daripada sabda Nabi S.A.W.. namun, harus anda ingat, Rasulullah S.A.W bersabda, “Barang siapa berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siaplah kedudukannya dalam neraka.”

Telah menjadi suatu keindahan Islam, apabila Allah mengharamkan sesuatu, maka didatangkan suatu yang lain, yang lebih baik sebagai gantinya. Begitu juga dengan hal ini. Baginda Nabi S.A.W telah mengajarkan suatu doa yang dibaca tatkala  melihat anak bulan (pada setiap permulaan setiap bulan baru, bukan hanya pada Awal Muharram).

“Allah  Maha Besar, ya Allah nampakkanlah bulan ini kepada kami dengan mendatangkan keamanan dan kedamaian, kesejahteraan dan keislaman, taufik dan apa-apa yang Engkau sukai serta redhai. Rabb kami dan rabb mu (bulan sabit) adalah Allah.”

HR At-Tirmidzi & Ad-Darimi, lafaz ini adalah milik Ad-Darimi (shahih).


oleh itu, saya ingin mengajak teman-teman supaya tidak menyebarkan lagi artikel-artikel seperti ini.. saya tahu niat anda adalah untuk berbuat baik, namun itu tidak akan menyelamatkan anda daripada neraka Allah, sekiranya anda berdusta atas nama Rasulullah S.A.W.. wallahu a’lam..

sejak bila Tuhan beranak pinak?

saya ada terbaca satu artikel yang ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus bin Abdullah mengenai hukum mengucapkan Merry Christmas kepada umat Kristian.. satu artikel yang cukup menarik untuk dibaca.. sekiranya anda berminat, sila klik link di atas.. namun, sekiranya anda kurang berminat untuk membaca artikel panjang, di sini telah saya ringkaskan artikel tersebut dalam bentuk yang lebih ringkas..

pertama: mengucapkan Merry Christmas bermaksud mengucapkan tahniah kepada kaum Kristian atas kelahiran ‘anak Tuhan’ mereka.. inilah kepercayaan mereka tentang Krismas, dan perkara ini bertentangan dengan aqidah kita yang mengatakan Tuhan itu tidak beranak dan tidak pula diperanakkan..


Katakanlah: Dia adalah Allah yang Esa. [1] Allah tempat meminta segala sesuatu. [2] Tidak beranak dan tidak diperanakkan. [3] Dan tiada sesuatu pun yang setara denganNya. [4]

[Al-Ikhlash, 112: 1-4].

mungkin ada yang mengatakan, “kami sekadar mengucapkan Merry Christmas, bukannya kami percaya bahawa Tuhan itu ada anak..” kita katakan: Bukankah ucapan seperti itu bererti kita mengucapkan tahniah atas kelahiran Jesus sebagai anak Tuhan? memang anda tidak mengakui Jesus sebagai anak Tuhan, tetapi anda seolah-olah bersetuju dengan kepercayaan mereka yang mengatakan bahawa Jesus adalah anak Tuhan..


kedua: mungkin ada pihak yang akan berkata, “tidak bolehkah kita mengucapkan Merry Christmas sebagai tanda persahabatan dan penghormatan atau mengucapkannya atas nama toleransi?” kita katakan: Bersahabat, menghormati dan bertoleransi dengan orang bukan Islam tiada salahnya, tetapi haruslah dalam batasan yang dibenarkan syara’..


Allah tidak melarang kalian berlaku baik dan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangi kalian dalam urusan agama dan tidak mengusir kalian dari kampung halaman kalian. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil.

[Al-Mumtahanah, 60: 8].

daripada ayat Al-Quran di atas, dapat kita simpulkan bahawa Islam tidak memusuhi golongan kafir secara keseluruhan, tetapi hanya mereka yang menentang Islam sahaja.. namun, ini tidak bererti kita harus mengamalkan agama mereka..


Bagi kalian (orang kafir) agama kalian, dan bagiku agamaku.

[Al-Kafirun, 109: 6].


Tiada paksaan dalam (menganut) agama (Islam)…

[Al-Baqarah, 2: 256].


inilah kata pemutus dalam permasalahan ini.. bagi orang-orang kafir, mereka bebas untuk mengamalkan kepercayaan mereka, dan bagi kita sebagai umat Islam, kita juga ada kepercayaan yang menjadi aqidah kita..

kita tidak pernah memaksa mereka memeluk Islam (kerana itu adalah perintah Allah ‘Azza wa Jalla), kita tidak pernah memaksa mereka untuk solat lima waktu sehari semalam, kita tidak pernah memaksa mereka berpuasa sepanjang Ramadhan, kita tidak pernah menghalang mereka daripada menghadiri upacara di gereja setiap Ahad, kita tidak pernah memaksa mereka mengakui bahawa Jesus itu bukanlah anak Tuhan, tetapi apabila kita tidak mahu meraikan “hari kelahiran Jesus yang dianggap sebagai anak Tuhan”, kita pula dianggap tidak mengamalkan sikap bertoleransi terhadap mereka.. adilkah penilaian seperti ini?


Dan jika kedua-dua ibu bapamu memaksa engkau untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya, maka janganlah engkau mentaati kedua-duanya, namun bergaullah dengan mereka di dunia dengan baik…

[Luqman, 31: 15].

ayat ini pula jelas menunjukkan bahawa sebarang suruhan untuk melakukan maksiat kepada Allah adalah dilarang, sekali pun datang daripada kedua-dua orang tua kita.. namun dalam masa yang sama, kita disuruh untuk berbuat baik terhadap mereka, melayan mereka sebagaimana layaknya seorang ibu dan ayah dilayan.. di sini, dapat kita simpulkan bahawa: Jangankan atas nama PERSAHABATAN atau PENGHORMATAN, melakukan maksiat terhadap ALLAH atas nama KEKELUARGAAN pun dilarang oleh agama..


ketiga: mungkin ada yang akan bertanya, “kalau begitu, bagaimana pula caranya sekiranya kita berhadapan dengan situasi seperti ini?” kita katakan: Jalan yang terbaik adalah anda harus menjelaskan kepada mereka bahawa ucapan Merry Christmas, walau pun cukup ringan bagi lidah kita untuk mengucapkannya, tetapi boleh merosakkan aqidah seorang muslim..


tindakan kita tidak mengucapkan Merry Christmas bukanlah bererti kita tidak menghormati agama mereka, tetapi ini adalah sebahagian daripada perkara yang membezakan antara kita dengan mereka.. sekiranya kita melakukan perkara tersebut, maka apakah bezanya antara kita dengan mereka..


saya kira sudah tiba waktunya untuk saya akhiri entry ini.. semoga anda berkelapangan untuk membaca artikel Kapten Hafiz Firdaus, semoga penulisan beliau bermanfaat untuk semua.. wallahu a’lam..


Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik…

[An-Nahl, 16: 125].


Dan janganlah kalian berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang baik, kecuali terhadap orang yang zalim antara mereka…

[Al-‘Ankabut, 29: 46].

-mrblinc-

jakarta barat