yang mana satu pilihan qalbu..

saya sering ditanya, bagaimana sikap kita dalam menghadapi perbezaan pendapat yang berlaku dalam masyarakat kita.. dengan PENDAPAT-PENDAPAT YANG BERBEZA ANTARA MAZHAB YANG EMPAT, ditambah lagi dengan PENDAPAT SEGELINTIR USTAZ yang cuba untuk menubuhkan mazhab baru bagi kampung masing-masing.. memang kita akui, perkara tersebut telah memberikan banyak masalah kepada umat hari ini, terutama dalam soal perpaduan.. hakikatnya, jawapan bagi persoalan di atas cukup mudah, dan perkara tersebut telah pun dijawab oleh Allah Ta’ala dan juga RasulNya beberapa belas kurun yang lalu..


dalam surah An-Nisa’ misalnya, ayat yang ke-59, Allah menyeru orang-orang yang beriman supaya mentaati Allah dan RasulNya secara mutlak, tidak ketinggalan mentaati uli al-amr dalam batas-batas yang dibenarkan oleh syara’.. Allah mengajarkan kepada kita, dalam ayat yang sama, sekiranya kita berselisih pendapat kembalikanlah perkara tersebut kepada Allah (yakni kitabullah) dan Rasul (sunnah Rasul) sekiranya KITA BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIR.. dalam satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, Rasul berkata bahawa umat ini akan terpecah kepada 73 golongan, semuanya akan ke neraka kecuali satu golongan.. ditanyakan kepada baginda, golongan yang manakah yang dimaksudkan, lantas baginda menjawab: Golongan yang AKU dan PARA SAHABATKU berada padanya..


secara ringkas, boleh dikatakan, rujukan utama umat Islam adalah AL-QURAN dan AS-SUNNAH, sebagaimana yang difahami oleh PARA SAHABAT R.A selaku salafu al-ummat (umat terawal atau generasi terawal), yang menerima teguran langsung daripada Rasulullah S.A.W seandainya mereka tersilap dalam memahami Al-Quran dan As-Sunnah dan yang dipersetujui tindakan mereka yang selari dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.. dengan itu kita menolak sebarang bentuk tafsiran yang bercanggah dengan kefahaman para sahabat, sebagaimana tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh golongan liberal, Syi’ah, dll.. itulah aqidah sebenar AHLU AS-SUNNAH WA AL-JAMA’AH, iaitu berpegang kepada AS-SUNNAH RASUL dan kefahaman JAMA’AH PARA SAHABAT..


kalau kita diwajibkan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sesuai dengan kefahaman para sahabat, adakah ini bererti kita harus meninggalkan mazhab? TIDAK.. saya sendiri lebih banyak berpegang pada mazhab Asy-Syafi’i dan saya kira ramai teman yang lain, yang turut berada di barisan da’wah bersama saya, masih banyak berpegang pada mazhab Asy-Syafi’i.. bezanya, kami tidak pernah taksub kepada pendapat tersebut.. mana-mana pendapat dalam mazhab Asy-Syafi’i yang ternyata tidak sesuai dengan As-Sunnah tidak akan kami pegang, dan mana-mana pendapat daripada mazhab-mazhab yang lain yang lebih sesuai akan menjadi pegangan kami.. ini bukanlah perkara yang baru, tetapi perkara ini telah pun dilakukan oleh ulama’-ulama’ terdahulu..


Imam An-Nawawi misalnya, walau pun beliau seorang ulama’ yang bermazhab Asy-Syafi’i, namun beliau telah memberikan pandangan-pandangan yang berbeza daripada Imam Asy-Syafi’i sendiri.. dalam bab yang membahaskan sama ada babi itu najis mughallazah atau tidak (yakni perlu dibasuh dengan air tanah atau tidak), Imam An-Nawawi sebagaimana yang termaktub dalam kitabnya “Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab” menyebutkan bahawa babi bukanlah najis mughallazah.. pendapat ini pada hakikatnya bercanggah dengan pendapat Imam Asy-Syafi’i yang mengatakan bersentuhan dengan babi harus dibasuh dengan air tanah.. Imam An-Nawawi diakui kesarjanaannya oleh umat Islam seluruh dunia, dan beliau telah melakukan perkara tersebut tanpa ada yang berani mengkritik beliau.. sayangnya, apabila kami cuba melakukan perkara yang sama (yakni menyatakan bahawa babi bukanlah najis mughallazah), lantas kami dilemparkan dengan fitnah-fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.. mereka telah mengatakan bahawa kami menghalalkan babi.. suatu fitnah yang cukup besar, memandangkan pengharaman babi bukanlah perkara main-main, tetapi perkara tersebut disebutkan dalam Al-Quran di beberapa tempat.. fitnah tersebut membuatkan kami seolah-olah telah menyanggahi Al-Quran, na’udzubillah..


dalam satu hadits riwayat Imam Abu Dawud, dari Abu Tsa’labah Al-Khusyaini R.A, dia pernah bertanya Rasulullah S.A.W tentang hukum menggunakan peralatan memasak jiran tetangganya yang biasa memasak daging babi di dalam periuk dan meminum khamar di dalam gelas, lantas baginda menjawab, sekiranya ada peralatan yang lain, gunakanlah peralatan yang lain, namun jika tiada, basuhlah peralatan tersebut dengan air dan makan dan minumlah.. jawapan yang singkat, namun menyanggahi pendapat masyarakat Malaysia.. kadang-kadang saya pelik, sekiranya Rasulullah yang mengajarkan perkara tersebut, pihak-pihak yang menuduh tadi tidak menganggap baginda sesat, tetapi sekiranya kami yang menyebutkan perkara tersebut, mereka lantas berkata: “inilah ajaran-ajaran baru budak-budak ‘medic’ yang kononnya pandai mengkaji hadits.. bukan ada lulusan agama pun..” pernyataan ini sebenarnya sudah lama terngiang-ngiang di telinga saya, saya rasa sejak dari awal kami memulakan da’wah kami di kampus ini..


kembali kepada perbezaan pendapat antara Imam Asy-Syafi’i dan Imam An-Nawawi R.H.. bagaimanakah cara kita menyikapi permasalahan ini kerana kedua-dua imam ini adalah ulama’ besar dalam mazhab yang sama, tetapi memberikan pandangan yang berbeza? jawapannya mudah sahaja, KEMBALILAH KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH yang selari dengan KEFAHAMAN PARA SAHABAT.. berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, kita akan melihat seolah-olahnya pendapat Imam An-Nawawi lebih mendekati ajaran Nabi S.A.W.. berbeza dengan pendapat Imam Asy-Syafi’i, kata-kata Nabi dalam perkara ini seolah-olah tidak mendukung pendapat beliau.. dalam kes seperti inilah, kami tanpa mengurangi sedikit pun rasa hormat kami terhadap imam yang mulia ini terpaksa meninggalkan pendapat tersebut dan berpegang pada pendapat Imam An-Nawawi, berdasarkan hadits Abu Dawud.. tapi ini tidak bererti kami perlu mencela dan mencerca Imam Asy-Syafi’i.. ini tidak bererti kami perlu meninggalkan semua pendapat beliau.. kami menyanjunginya, dan kami menghargai jasa-jasa beliau dan kami juga akan senantiasa mendoakan beliau dengan menyebutkan “rahimahullah”.. namun, apabila telah jelas bagi kami Sunnah Rasul, kami terpaksa meninggalkan pendapat beliau..


kenapa? kerana telah jelas daripada Al-Quran bahawa Rasulullah adalah seorang manusia yang telah diwahyukan oleh Allah tentang urusan agama ini.. tiada yang lebih mengetahui tentang urusan agama ini melainkan Rasulullah S.A.W.. setiap larangannya datang dari Allah, dan setiap perintah baginda juga datangnya dari Allah.. tidak mungkin Rasulullah akan berkata-kata menurut hawa nafsunya, dan perkara tersebut telah pun dijamin oleh Allah S.W.T dalam surah An-Najm, surah 53, ayat 3-4.. inilah aqidah kita terhadap sabda Nabi S.A.W.. apabila mendengar sabda Nabi, sudah tiada lagi pilihan lain, melainkan sami’na wa atha’na (we hear and we obey).. kerana kita tahu bahawa ajaran Nabi sahajalah yang mengajarkan kita apakah yang Allah inginkan daripada kita sebagai hamba-hambaNya..


sebagai contoh, dalam kitab Shahih Al-Bukhari dan Shahih Muslim, ada satu riwayat yang menyebutkan bahawa ada tiga orang sahabat Nabi S.A.W datang berjumpa isteri-isteri baginda untuk bertanyakan tentang kehidupan seharian baginda.. setelah dijelaskan kepada mereka, salah seorang daripada mereka berkata bahawa dia akan solat malam dan tidak akan tidur, seorang lagi berkata bahawa dia akan berpuasa setiap hari dan yang ketiga berkata bahawa dia akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin.. Nabi S.A.W datang kepada mereka dan memarahi mereka, lantas baginda mengatakan bahawa baginda juga solat malam tetapi baginda juga tidur pada sebahagian malam, baginda juga berpuasa tetapi ada waktunya baginda tidak berpuasa dan baginda juga mengahwini wanita.. sekali pandang, kita pasti mengatakan bahawa apalah salahnya sekiranya ketiga-tiga sahabat tersebut ingin melakukan perkara-perkara yang diucapkan memandang perkara tersebut adalah cara untuk mendekatkan diri kepada Allah, namun ternyata perkara yang dianggap baik di sisi mereka itu tidak disenangi oleh Rasulullah S.A.W.. ini bererti Allah juga tidak meredhai amalan-amalan tersebut walau pun pada zahirnya perkara tersebut adalah baik.. baiknya sesuatu amalan di sisi kita belum tentu baik di sisi Allah dan RasulNya..


satu contoh lain, solat Subuh 4 rakaat tidak akan diterima, walau pun pada zahirnya kita MENAMBAH bilangan rakaat dan bukannya MENGURANGI bilangan rakaat.. bukankah menambah bilangan rakaat bererti ibadah itu bertambah? mengapa pula tidak diterima? jawapannya cukup mudah: INI KERANA MEMANG RASULULLAH MENGAJARKAN KITA UNTUK SOLAT SUBUH 2 RAKAAT, bukannya 4 rakaat.. ada pula yang bertanya, kenapa baginda mengajarkan solat Subuh 2 rakaat dan bukan 4 rakaat? jawapannya juga cukup mudah: BAGINDA TIDAK PERNAH MEMBERIKAN ALASANNYA UNTUK PERKARA INI.. ini adalah rahsia ketuhanan yang saya rasa tiada siapa yang mampu merungkaikannya.. begitu juga dengan pergerakan solat misalnya.. kenapa kita sujud 2 kali pada setiap rakaat tetapi ruku’ hanya sekali? bolehkah sekiranya kita ruku’ dua kali? jawapannya tidak boleh.. kenapa? SAYA PUN TIDAK TAHU KENAPA TIDAK BOLEH RUKU’ 2 KALI, saya hanya mendengar bahawa ajaran tersebut berasal dari Nabi S.A.W, dan sebagaimana yang saya sebutkan tadi, apabila kita mendengar sesuatu ajaran yang berasal dari Nabi, pasti kita mengatakan sami’na wa atha’na.. itu sahaja, satu konsep yang cukup mudah untuk difahami saya kira.. apa-apa kehendak Tuhan tidak akan kita ketahui kecuali apabila kita mendengarnya dari Al-Quran mahu pun As-Sunnah..


dan ternyata, para imam yang terdahulu juga, sebagaimana kita, tidak mengetahui apa yang dikehendaki oleh Allah melainkan apa yang disebutkan oleh Al-Quran mahu pun As-Sunnah.. agama ini bukanlah milik mereka sehinggakan mereka boleh mereka-reka sesuatu yang tidak pernah diajarkan.. mereka juga sedar tentang perkara ini.. kerana itulah mereka telah bertungkus-lumus untuk mengumpulkan hadits-hadits untuk mengetahui apakah sebenarnya tuntutan Allah terhadap hamba-hambaNya.. namun, atas kelemahan mereka sebagai makhluk, kadang-kala mereka mungkin tersilap dalam menyimpulkan sesuatu perkara.. dan mereka cukup sedar tentang perkara ini.. Imam Asy-Syafi’i misalnya, cukup terkenal dengan qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru).. persoalan yang ingin saya timbulkan, mengapa Imam Asy-Syafi’i perlu mengeluarkan pendapat baru? jawapannya tidak lain dan tidak bukan, beliau sendiri berasa seolah-olah mungkin beliau telah tersalah dalam mengeluarkan pendapat-pendapat lamanya.. mungkin sahaja setelah beberapa ketika, beliau baru menemui suatu dalil yang menjelaskan tentang sesuatu perkara yang pernah disebutkan suatu ketika dahulu, dan ternyata pendapatnya yang dahulu itu menyanggahi dalil tersebut.. dengan penuh kerendahan hati, beliau telah menarik kembali pendapat lamanya dan mengeluarkan pendapat baru..


namun, segelintir orang tidak dapat memahami perkara tersebut, lantas mereka berkata: “kenapa kelompok ini tidak berpegang pada mazhab Asy-Syafi’i? adakah patut mereka menganggap pendapat Asy-Syafi’i salah? Asy-Syafi’i tu imam mazhab, takkanlah boleh salah..” mungkin sebahagian daripada anda belum mendengar perkataan seperti ini, namun insya-Allah, sekiranya anda berada di kampus ini dalam jangka waktu yang cukup lama, mungkin perkataan seperti ini akan diungkapkan kembali.. pelik sungguh, Asy-Syafi’i sendiri boleh merasakan mungkin sahaja pendapat-pendapatnya salah, tetapi masyarakat pula mengatakan bahawa pendapat-pendapatnya pasti betul.. lebih lajak dari laju..


atas dasar inilah kami telah memulakan langkah dalam da’wah ini, dan sehingga ke hari ini masih tetap bertahan walau pun pelbagai fitnah dilemparkan, walau pun pelbagai ketidakfahaman umat memeningkan kepala kami.. namun kita sedar, ketidakfahaman ini sekiranya tidak dibetulkan mulai hari ini akan berterusan.. kerana itu, kami selalu menyebutkan slogan ini: MARILAH SAMA-SAMA KITA KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH sebagaimana yang DIFAHAMI OLEH GENERASI SAHABAT R.A.. hanya kefahaman seperti itulah yang akan menyelamatkan kita daripada kesesatan, walau pun kita mungkin akan dituduh sesat dan menyesatkan.. atau pun kita dituduh memecahbelahkan masyarakat.. bukan niat kita untuk memecahbelahkan masyarakat, tetapi kita ingin menyatukan masyarakat atas panji Islam yang tulen, iaitu panji Islam yang berlandaskan AL-QURAN dan AS-SUNNAH yang shahihah..


saya harap entry yang panjang ini boleh memberikan satu gambaran ringkas kepada para pembaca tentang hakikat agama wahyu ini.. kita tidak boleh berkata-kata sesuka hati kita, para imam juga tidak boleh berkata sesuka hati mereka, para ustaz juga tidak boleh berkata sesuka hati mereka, kerana kita semua tidak tahu apakah yang Allah kehendaki daripada kita, melainkan kita mendengarnya dari Nabi S.A.W.. hanya baginda yang dipilih oleh Allah Ta’ala untuk MENERIMA WAHYU dan MENYAMPAIKAN SYARI’AT ini.. dan baginda tidak mungkin silap dalam urusan ini.. tetapi para imam mungkin sahaja melakukan kesilapan, dan kesilapan mereka tidak membuka peluang kepada kita untuk mencela mereka.. mana-mana ajaran mereka yang sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah, kita amalkan, namun mana-mana pendapat yang bercanggah kita tinggalkan (tinggalkan pendapat tersebut sahaja, bukan meninggalkan seluruh ajaran atau mazhab mereka).. persoalannya, bagaimanakah untuk kita tahu sama ada sesuatu pendapat itu sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah? jawapannya adalah ILMU.. kita tidak akan dapat memahami agama ini melainkan dengan ILMU.. adalah salah sekiranya kita memperkenalkan agama ini kepada orang lain atas dasar SEMANGAT, kerana kadang-kadang SEMANGAT itu tidak menjamin sesuatu amalan itu diterima (sebagaimana tidak sah apabila kita solat Isya’ 6 rakaat walau pun kita melakukannya dengan PENUH KEIKHLASAN dan PENUH BERSEMANGAT), namun ILMU yang benar akan membawa kita untuk mengenali Allah dengan lebih dekat dan mengetahui apakah yang dituntutNya daripada kita semua..


saya kira inilah saatnya untuk mengakhiri entry untuk kali ini.. di sini saya ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama berdoa supaya dimudahkan urusan saya dan teman-teman yang lain dalam menghadapi ujian pada tanggal 1 Disember 2008.. semoga waktu yang saya curahkan untuk menulis entry ini dibalas oleh Allah ‘Azza wa Jalla, tidak kiralah sama ada di dunia mahu pun di akhirat kelak, insya-Allah.. dan buat para pembaca juga, saya mengharapkan partisipasi anda dalam menyebarkan entry ini, semoga Allah memberi kita ganjaran atas apa yang kita lakukan.. semoga melalui tangan anda, Allah Ta’ala akan memberikan hidayah kepada insan-insan lain yang berada di sekitar anda.. wallahu a’lam..


BERSAMA-SAMA KITA KEMBALI KEPADA “REVELATION-BASED RELIGION”


-mrblinc-

jakarta barat

  1. Asslmkm wbkth. Panjang tapi menarik tajuk dan pengisiannya. Sedikit tambahan:

    Wasiat al-Syafi‘e:

    1. Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
    Sesuatu sunnah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kemungkinan akan sampai atau tidak sampai kepada seorang itu. Maka apabila sahaja aku menghuraikan pendapatku atau merumuskan sesuatu prinsip dan pada waktu yang sama wujud satu hadis yang sah daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan sebaliknya maka pendapat yang betul itu adalah apa yang Nabi katakan dan demikianlah juga akan menjadi pendapat aku
    (Riwayat Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimashq, 15/1/3).
    [al-Imam Ibn ‘Asakir lahir pada 499H/1106M di bandar Damsyik. Seorang ahli sejarah dan ahli hadis yang terkemuka bagi Mazhab al-Syafi‘e pada kurun ke 5 hijrah. Beliau yang nama asalnya ialah Abu al-Qasim ‘Ali bin al-Hassan meninggal dunia pada 571H/1176M].

    2. Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
    Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini.
    (Riwayat Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94).

    3. Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
    Dalam setiap isu, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku sudah meninggal dunia nanti.
    (Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lam al Muwaqqi‘in, jld. 2, ms. 363)

    4. Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
    Wasiat para imam maz-hab ini adalah benar akan tetapi perlaksana-annya tidaklah semudah yang disangkakan. Seseorang itu tidak boleh menghukum imam mazhab sebagai silap semata-mata kerana satu atau dua hadis sahih yang baru ditemuinya.
    Apabila kamu dapati di dalam bukuku sesuatu yang bertentangan dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka berpeganglah kepada Hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau tuliskan).
    (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di dalam al-Ihtijaj bi al-Syafi‘e, jld. 8, ms. 2 dan al-Nawawi di dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 63).
    [al-Imam al-Nawawi ialah seorang imam mujtahid yang masyhur bagi Mazhab al-Syafi‘e. Beliau yang nama asalnya Abu Zakaria Yahya bin Syaraf lahir di Syria pada 631H/1233M. Antara karangan beliau ialah kitab fiqh Mazhab al-Syafi‘e berjudul al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dan Syarh Shahih Muslim. Meninggal dunia pada 676H/1277M]

    5. Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
    Pertama, sesuatu berita itu daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam wajib diterima. Kedua, berita tersebut ataupun hadis tersebut wajib diterima jika ianya telah disahkan walaupun tiada di antara imam-imam sebelum ini yang mengamalkan atau mengajarkan sesuatu daripada hadis tersebut.
    Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa jika tindakan salah seorang imam itu bertentangan dengan hadis daripada Nabi maka tindakan imam itu haruslah ditinggalkan dan diganti dengan petunjuk yang berasal daripada hadis Nabi.
    Di samping itu, suatu hadis yang diyakini sah daripada Nabi adalah tegas dengan sendirinya tanpa memerlukan konformasi daripada tindakan seseorang lain selepas beliau.
    (al-Risalah, para 423, sub-para 3).

    6. Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
    Pertama, pendapat boleh diterima bilamana tidak ada sunnah dalam hal itu. Akan tetapi jika sunnah menyatakan bahawa seseorang itu harus melakukan sesuatu perkara itu sebegini-sebegini, seseorang itu wajib meninggalkan apa yang dia telah atau sedang lakukan.
    Seseorang itu wajib meninggalkan sesuatu amalan yang bertentangan dengan sunnah. Juga dia wajib meninggalkan pendapat yang mengatakan bahawa sunnah hanya boleh tertegak atas dukungan suatu berita yang datang menyusul. Dan seseorang itu patut akur bahawa sunnah itu tidak boleh dikebelakangkan oleh sesuatu apapun yang bertentangan dengannya.
    (al-Risalah, para 426).

    source: Pedoman2 Bermazhab Dalam Islam, Hafiz Firdaus Abdullah, Jahabersa, subtopik: Wasiat Para Imam Mazhab kepada Umat Islam.

    Selain itu, terdapat wasiat daripada Imam Ahmad bin Hanbal, Malik bin Anas dan Abu Hanifah dalam persoalan bermazhab, boleh dapatkan buku ini utk faham dengan jelas tentang prinsip bermazhab. Satu lagi buku iaitu “Menyelusuri Ikhtilaf Mazhab: antara Keterikatan & Keterbukaan, Perpaduan & Perpecahan” tulisan Dr Zulkifli Mohamad alBakri, UNITI, N9, penerbit Kajang Fuqaha’.

    Satu lagi, penulis menamakan diri sebagai mrblinc, mungkin ada pelajar yang tak tahu siapa mrblinc dan nama2 pena dalam website ni, jadi kalau boleh, dalam penulisan, tampilkan nama sebenar, ia gambaran kepada kejujuran seorang penulis, sebagaimana yang dikatakan oleh UHF dalam bukunya Berdakwah Melalui Penulisan Efektif. Sekadar nasihat dan pandangan. Nama sebenar disertakan dengan nama pena adalah lebih bagus. Selamat menempuh peperiksaan buat semua, semoga Allah SWT permudahkan urusan kita semua.

    • mrblinc
    • November 30th, 2008

    salam, trima kasih atas masukannya, insya-Allah akan dipertimbangkan..

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: