Pihak kami ditanyakan satu persoalan sebagaimana berikut:
Assalamu’alaikum.. saya mempunyai masalah buang air kecil tidak lawas.. apabila melakukan solat kadangkala terasa urine tersebut terkeluar.. jadi apa hukumnya ya..?? dan apa yang perlu lakukan lebih2 lagi dlm melakukan solat.. sya mendengar pndpt agar melapikkan ke bhgn qubul utk elak urine yg terkeluar itu tidak terkena pakaian solat.. jadi apa pndgn saudara tntg hal ini.. dan apabla telah dilapik ketika solat, dan pastinya kain yang dilapik tersebut akan terkena urine yg terkeluar itu, jadi adakah ianya perlu diganti setiap waktu solat, walaupun sedikit shj yg terkeluar dan terkena pd kain lapik tersebut.. minta penjelasannya ya.. sekian, syukran.. wassalam
Jawapan:
Masalah yang anda kemukakan ini termasuk dalam hadats daim [iaitu hadats yang sentiasa menyertai]. Dalam kondisi seperti ini, Islam memberikan kelonggaran kepada anda, namun di sana masih ada batas-batas tertentu yang harus anda jaga.
Terjemahan: Maka, bertaqwalah kalian kepada Allah menurut kemampuan kalian.
[At-Taghabun, 64: 16].
Terjemahan: Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila aku perintahkan sesuatu perkara, maka kerjakanlah semampu kalian.”
[Muttafaqun 'alaihi].
Berikut adalah sedikit penjelasan daripada beberapa orang ulama tentang masalah ini.
Pertama, para fuqaha ada menyebutkan beberapa kaedah untuk mengatasi masalah salisul baul [air kencing keluar terus menerus] ini. Antaranya dengan cara berdehem, atau mengurut zakar [jari hantu tangan kiri di bahagian bawah zakar dan ibu jari tangan kiri di bahagian atas, lalu mengurutnya], atau menggerak-gerakkan kaki [seperti orang berjalan]. Menurut Syaikh Ibnu Jibrin pula [dalam Fatawa Islamiyyah], anda harus membasuh kemaluan anda dengan air yang sejuk setiap kali anda selesai membuang air kecil kerana perkara itu akan menghentikan keluar air kencing.
Kedua, menurut Syaikh Jibrin juga, sekiranya salisul baul ini hanyalah was-was atau sangkaan, maka renjiskan air ke seluar anda [yang bersentuhan dengan kemaluan], sehingga perkara ini akan menghilangkan was-was anda apabila anda melihat adanya bahagian yang basah di seluar anda. Kerana telah jelas bahawa kebasahan itu ada kerana renjisan anda, bukan kerana keluarnya air kencing.
Ketiga, sekiranya salisul baul ini benar-benar diyakini [bukan suatu sangkaan], maka anda hendaklah berwudhu setiap kali hendak menunaikan solat dan membersihkan pakaian anda, dan apabila anda telah berwudhu, anda tidak perlu menghiraukan air kencing yang keluar antara wudhu dan solat anda. Inilah yang dijelaskan oleh Syaikh Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim dalam kitab Shahih Fiqih Sunnah. Dan menurut beliau juga, perkara yang sama dilakukan bagi individu yang menghadapi masalah salisul madzi [air madzi keluar terus menerus] dan wanita yang menghadapi masalah istihadhah.
Keempat, sekiranya anda menggunakan kain lapik, anda perlu mencuci atau mengganti kain tersebut setiap kali ingin menunaikan solat, kerana kain itu tetap dianggap terkena najis [namun najis yang terkena kain tersebut antara wudhu dan solat anda dimaafkan, sebagaimana yang dijelaskan dalam point ketiga].
Saya rasa ini sahaja yang dapat saya bawakan untuk menjawab pertanyaan anda. Terima kasih kami ucapkan kepada anda kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk menjawab permasalahan saudara. Tindakan saudara yang bertanya perkara yang tidak diketahui dalam urusan agama juga harus dipuji, kerana inilah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Anbiya, ayat 7. Akhir kata, saya memohon berjuta kemaafan sekiranya terdapat kekurangan dalam jawapan yang saya bawakan di atas. Wallahu a’lam.
-mrblinc-
jakarta barat